“Argh… tiga puluh Hadith dengan matan dan sanad, campur syarahnya lagi… rasa nak meletup kepala!” saya mengomel sendirian di dalam bilik. Nota-nota subjek Hadith II sudah selesai saya baca. Ditambah pula dengan subjek Fiqh Hubungan Antarabangsa yang juga peperiksaan kedua semester ini berlangsung pada hari yang sama. Sepanjang malam saya sesak dada dan sesak kepala mahu menghadam semua itu. Tidak cukup dengan peperiksaan, hari ini juga merupakan giliran saya membentangkan assignment subjek Hak-hak Asasi Manusia. Saya diberikan tajuk Hak Beragama Menurut Perspektif Islam.
Tiga subjek untuk dinilai dalam dewan peperiksaan hari ini. Dua daripadanya menyumbang kepada 25 markah setiap satu. Pembentangan pula menyumbang kepada 10 markah.
Saya segera meninggalkan bilik untuk menuju ke kampus. Pintu bilik dikunci. Di dalam bilik saya ada beberapa buah buku yang dibeli dengan syarat yang luar biasa. Dek kerana sensitifnya isi kandungan buku itu di Jordan, saya dikehendaki bersumpah dengan nama Allah untuk tidak mendedahkan daripada mana dan siapa saya membelinya. Memikirkan semua itu, pintu bilik sentiasa saya kunci jika saya tiada di rumah.
“Ehh… kenapa ni? Mustahil!” saya tergamam.
Selesai memakai kasut, pintu keluar rumah saya terkunci. Puas pemulas pintu dipusing-pusing, saya gagal membukanya.
Mungkin ahli rumah saya terlupa kepada pesanan saya malam tadi bahawa pintu atas jangan dikunci memandangkan kami baru seminggu berpindah ke rumah tersebut. Saya tidak mempunyai kunci atas dan kelas saya bermula lewat sejam daripada ahli rumah yang lain.
Aduh!
Jantung saya berdegup kencang.
Jam sudah menunjukkan pukul 9:30 pagi. Tinggal setengah jam lagi sebelum peperiksaan Hadith II bermula.
KUNCI OH KUNCI
Kata salah seorang daripada ahli rumah saya, pintu bilik saya juga boleh diguna untuk membuka pintu keluar rumah kami. Saya segera keluarkan kunci berkenaan dan cuba membukanya. Malang sekali, kunci itu yang hampir sama dengan kunci pintu depan, hanya boleh diguna untuk dibuka dari luar. Bukan dari dalam.
Saya terus memulas kunci itu.
Bukan lagi untuk membuka pintu, tetapi untuk menghilangkan rasa panik.
Tap!!!

No comments:
Post a Comment